JADUAL peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akan diawalkan selewat-lewatnya akhir September atau awal Oktober bermula 2019.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenal sistem jadual peperiksaan anjal atas faktor logistik, cuaca serta kebajikan pelajar.

Menurut beliau, antara jadual peperiksaan yang diawalkan itu terdiri subjek elektif yang kandungan sukatan pelajaran bersifat kemahiran dan mengandungi kerja kursus.

"Walaubagaimanpun subjek teras seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Islam Dan Sejarah kekal mengikut jadual seperti biasa," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16(1) di Putrajaya.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Peperiksaan KPM, Adzman Talib dan Pengetua SMK Presint 16(1), Ab Aziz Mamat.

Antara subjek elektif yang diawalkan adalah Pendidikan Seni, Pertukangan, Sains Komputer, bahasa bukan teras seperti Kadazan Dusun, Iban, Tasawuf Islam dan Seni Muzik.

Maszlee berkata, peperiksaan awal itu juga dapat membantu mengurangkan tekanan pelajar dalam menghadapi masa yang panjang menghadapi peperiksaan.

Menurut beliau, selain dapat memendekkan waktu peperiksaan, ia juga dapat mengurangkan bebanan pengawas peperiksaan yang bertugas. - Harian Metro, 12 November 2018


Post a Comment

Previous Post Next Post