PERATUSAN keciciran murid di peringkat sekolah rendah menurun daripada 0.34 kepada 0.29 peratus, ujar Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Maszlee dipetik sebagai berkata Astro Awani, menjelaskan kementerian juga menyasarkan penurunan kepada 0.27 peratus keciciran sekolah rendah pada 2019.

“Jadi Kementerian Pendidikan Malaysia akan cuba mencapai penurunan lebih banyak untuk tahun 2019,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari yang mahu tahu jumlah murid yang tidak meneruskan sekolah dari darjah enam ke tingkatan 1 dan alasan apa mereka tidak menyambung sekolah.

Ujarnya, kadar transisi murid di sekolah rendah ke tingkatan 1 mulai 2014 hingga 2017 menunjukkan trend peningkatan iaitu 95.06 peratus kepada 97.52 peratus.

Beberapa faktor dikenal pasti mengakibatkan murid tercicir daripada sekolah iaitu kemiskinan, sikap murid yang tidak berminat, sikap ibu bapa tidak mengambil berat, sakit, OKU, masalah sosial , masalah pembelajaran termasuklah perkahwinan kanak-kanak bawah umur.

“Bagi membendung masalah ini, kementerian menyediakan pelbagai skim bantuan sejak dulu. KPM menyediakan beberapa biasiswa kepada murid daripada golongan pendapatan rendah yang cemerlang.

“KPM juga laksanakan inisiatif Peningkatan Akses daripada peringkat Prasekolah hingga Menengah Atas untuk menangani keciciran murid ke sekolah,” tambahnya. - 29 November 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post