KEMENTERIAN Pendidikan akan memperkenalkan elemen antirasuah dalam mata pelajaran Sivik di sekolah bermula pertengahan tahun depan.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata, subjek berkenaan akan diajar di peringkat sekolah rendah dan menengah selain diperkenalkan di peringkat prasekolah dalam bentuk penerapan nilai murni.

Katanya, selain antirasuah, elemen-elemen lain termasuk hak asasi manusia, keselamatan jalan raya dan alam sekitar turut akan diterapkan.

“Kita tiada subjek khusus seperti antirasuah tetapi apa yang kita akan lakukan adalah kita akan memasukkannya sebagai salah satu tajuk dalam mata pelajaran sivik, yang kita akan perkenalkan semula.

“Bermula tahun depan, kita akan mula mengkaji mata pelajaran itu. Subjek ini bukan sebagai subjek wajib lulus tetap subjek yang wajib untuk dipelajari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Forum Permuafakatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bersama Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2018 di Putrajaya, hari ini.

Maszlee diminta mengulas syor SPRM supaya menjadikan subjek rasuah sebagai subjek wajib di sekolah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, hari ini berkata sikap membenci rasuah perlu ditanam dalam diri pelajar dari peringkat awal bagi mengelak ia merebak apabila mereka dewasa.

Mengulas pendedahan Shukri bahawa pelakuan rasuah turut merebak di sekolah membabitkan pelajar dan guru termasuk terdapat kes guru meminta ‘anu’ atau seks daripada pelajar bagi membolehkan lulus peperiksaan, Maszlee berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima laporan berkaitan perkara berkenaan.

“Apa sahaja yang berlaku kita minta pihak terbabit melaporkan kepada polis. Jangan sembunyi dan kita tidak akan bertoleransi, kalau laporan itu ada kita akan ambil tindakan.

“Kita beri jaminan semua mangsa akan dilindungi berlandaskan undang-undang.

“Kita mahu mangsa tampil buat laporan serta mahu memastikan sekolah adalah tempat yang selamat untuk semua pelajar dan guru,” katanya. - Harian Mentro, 12 November 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post