KAJANG: Stigma masyarakat yang memandang rendah terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) sudah berakhir di negara ini selepas tahap kebolehpasaran graduannya melebihi 90 peratus.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, kejayaan memecah benteng persepsi itu berikutan kerjasama erat institusi berkaitan bersama pihak industri untuk berkongsi kepakaran dan teknologi terkini bagi kemudahan pelajarnya di seluruh negara.

Beliau berkata, dalam dunia hari ini kecerdasan pelbagai amat penting dan jika dahulu hanya kecerdikan dalam bidang akademik menjadi pengukur tahap kecerdasan seseorang.

Katanya, kecerdasan berdasarkan kecenderungan minat seseorang itu boleh meninggalkan impak yang besar, contohnya pemain bola sepak terkenal, Lionel Messi kehebatannya terletak pada kakinya, jika itu dijadikan ukuran kecerdikan, maka dia jauh lebih cerdik.

“Satu daripada kecenderungan itu adalah pendidikan TVET dan dulu stigma masyarakat mengatakan mereka yang berada dalam TVET dikatakan gagal, memang benar gagal akademik, namun mereka cerdik dalam bidang kemahiran.

“Kembalikan semula keupayaan anak-anak kita dan jangan berasa rendah diri jika mengambil bidang TVET dan teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) Industri Bersama Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional (BPTV) 2018, di Kolej Vokasional Kajang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah BPTV Zainuren Mohd Nor dan Pengarah Kolej Vokasional Kajang Supian Mahmood.

Dalam pada itu, Zainuren berkata sehingga Oktober lalu, sebanyak 775 MoU dimeterai Kementerian Pendidikan dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta sejak pelaksanaan Transformasi Pendidikan Vokasional pada 2012.

Katanya, maklum balas positif turut diraih daripada pemain industri terhadap graduan TVET yang disifatkan kompeten kerana mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

“Tahap kebolehpasaran graduan kolej vokasional mencapai 100 peratus daripada 2,273 graduan kohort pertama (2016), 96.47 peratus daripada 12,803 graduan kohort kedua (2017) dan 60.7 peratus daripada 14, 373 graduan kohort pada tahun ini sudah bekerja, menyambung pengajian atau menjadi usahawan

“Untuk tahun ini, maklumatnya masih belum lengkap kerana kita mengambil kira tahap kebolehpasan ini selepas enam bulan pelajar menamatkan pengajian di KV,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama menerusi majlis itu, Zainuren berkata, pihaknya memeterai MoU dengan lima pemain industri untuk pelaksanaan program antaranya dalam bidang persijilan profesional, teknologi automotif, kimpalan dan kualiti, asuhan awal kanak-kanak dan keusahawanan.

“Pada majlis hari ini, pihak Kolej Vokasional Kajang dan Kolej Vokasional Kudat turut memeterai MoU bersama 14 syarikat swasta bagi membolehkan kerjasama dengan lebih sistematik,” katanya. - Berita Harian, 16 November 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post