SERI ISKANDAR: Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya menempatkan diri menjadi antara universiti terbaik dunia meskipun berusia kurang 50 tahun.

Naib Canselornya, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, berkata UTP menjadi universiti termuda menerima pengiktirafan dalam QS Top 50 Under 50 World University Ranking 2018.

“Prestasi UTP meningkat ke kedudukan antara 71 dan 80 bagi universiti berusia bawah 50 tahun dan menjadi universiti termuda dari Malaysia yang diberi pengiktirafan itu.

“Prestasi UTP turut menyerlah dalam QS World University Ranking 2018 di mana kedudukan UTP berada antara kedudukan 521 dan 530 universiti dunia berbanding tahun 2017 dengan peningkatan sebanyak 80 kedudukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UTP di sini hari ini.

Yang hadir sama, dua Pro Canselor UTP, Datuk Ahmad Nizam Salleh dan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Pengerusi Lembaga Pengarah UTP, Datuk Raiha Azni Abdul Rahman.

Mohamed Ibrahim berkata, sejak penyertaan pertama UTP di QS Asia University Ranking pada 2013, pretasi UTP meningkat dengan begitu cemerlang.

Katanya, pada tahun ini, UTP berjaya mencapai kedudukan ke 99 dengan peningkatan sebanyak 92 kedudukan dalam tempoh enam tahun.

“UTP kini menjadi satu-satunya universiti swasta dari Malaysia yang tersenarai pada kedudukan antara 100 universiti terbaik di rantau Asia.

“Tempoh 21 tahun penubuhan UTP bukanlah satu tempoh yang panjang, namun atas usaha berterusan serta sokongan padu dari PETRONAS, UTP berjaya mencapai pelbagai bentuk kejayaan dan kecemerlangan,” katanya.

Seramai 1,659 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis itu dengan 1,375 adalah graduan ijazah sarjana muda, sarjana (133) dan selebihnya iaitu 151 lagi adalah penerima ijazah doktor falsafah (PhD).

Daripada jumlah itu, 21 peratus adalah graduan antarabangsa yang datang dari 38 negara dan ia juga menjadi satu rekod baharu bagi UTP kerana menghasilkan jumlah graduan antarabangsa tertinggi setakat ini.

Pada majlis itu juga, UTP turut mengisytiharkan pemasyhuran Ahmad Nizam sebagai Pro Canselor UTP selain turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan) kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah UTP, Tan Sri Noordin Mohamad Hassan dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan) kepada bekas Ahli Majlis Penasihat Akademik UTP, Prof Dr Klaus Ridle. - Berita Harian, 18 November 2018

Post a Comment

Previous Post Next Post